Hubungan Aktiviti SS: Penjadual Nak Senang Kerja

Dalam kursus yang dikendalikan, saya beritahu para peserta yang hubungan aktiviti jenis SS tidak digalakkan kerana akan memberi gambaran yang tidak tepat ketika melaksana pengesanan kemajuan projek. Hubungan SS biasanya digunakan oleh mereka yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan tarikh siap projek mengikut kontrak—tidak melaksana mampatan jadual sebagaimana sepatutnya.

Ada perserta yang bertanya kenapa tidak boleh guna hubungan tersebut. Beliau memberitahu bahawa kebanyakan aktiviti projek jalan raya dan projek infrastruktur perlu bertindih justeru kita tidak boleh hanya menggunakan hubungan FS. Jika tidak, tempoh projek akan lebih panjang dari sepatutnya. Beliau memberi contoh kerja menyembur “tack coat”. Tak kan beliau nak tunggu sampai selesai menyembur “tack coat” baru nak hampar “wearing course” sedangkan ianya boleh dihampar selepas 2 hari disembur. Jawapan saya; boleh tak pecahkan kerja kepada pakej kerja (WBS) yang lebih kecil agar “wearing course” dihampar sebaik sahaja selepas 2 hari penyemburan “tack coat” siap dilaksana.

Hubungan SS memang ada gunanya, namun kebiasaannya ia disalah guna untuk cepat siapkan jadual kerja projek. Sudah tentu, sebagai penjadual projek kita cuba untuk memastikan kaedah optimum pembinaan memandangkan kekangan masa. Jika aktiviti B secara mandatori perlu bermula sebaik sahaja aktiviti A telah bermula, maka hubungan SS adalah betul. Jika ianya bergantung kepada budi bicara, jangan gunakan hubungan tersebut.

Berikut adalah kesan penggunaan hubungan SS dalam penjadualan:

hubunganSS

Di dalam contoh di atas; aktiviti B dihubung dengan aktiviti A menggunakan hubungan SS dan lag 5 hari, tarikh siap adalah pada 10 April. Katakan apabila projek dah bermula; berlaku kelewatan kepada aktiviti A, ia hanya dapat disiapkan pada 15 Mac (paparan di bawah). Kelewatan ini (5 hari) sepatutnya menganjakkan tarikh ‘siap’ tetapi tidak. Ini memberi gambaran bahawa projek masih mengikut jadual walaupun aktiviti kritikal telah terlewat.

KemajuanSS

Di dalam contoh di bawah saya pecahkan aktiviti A kepada aktiviti A1 dan aktiviti A2; aktiviti B kepada aktiviti B1 dan aktiviti B2. Aktiviti-aktiviti tersebut dihubungkan dengan hubungan FS. Tarikh siap projek masih 10 April seperti contoh di atas (menggunakan hubungan SS).

hubunganFS

Paparan berikut menunjukkan aktiviti-aktiviti dikemaskini dengan aktiviti A1 lewat 5 hari, sama seperti dengan contoh yang menggunakan hubungan SS. Namun kelewatan ini menganjakkan tarikh ‘siap’ projek ke 17 April (5 hari bekerja selepas 10 April).

kemajuanFS

Kesimpulan: Tujuan penggunaan hubungan SS mungkin menunjukkan logik yang betul ketika mula-mula menyediakan jadual projek. Namun apabila projek sudah bermula, kita patut fikirkan sama ada hubungan SS masih lagi logik untuk baki tempoh aktiviti dan juga setiap kali jadual dikemaskinikan. Selalunya hubungan SS  tidak akan menggambarkan keadaan sebenar di tapak apabila jadual projek dikemaskini dengan kemajuan semasa.

Komen Anda:

Emel anda tidak akan disiarkan. Diperlukan *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>