Dalam dunia pengurusan projek, CPM atau program kerja ibarat peta jalan. Tapi macam peta pun, kalau salah baca atau tak ikut betul-betul, kita tetap boleh tersesat. Ramai yang fikir cukup sekadar ada CPM, semua beres. Hakikatnya, banyak projek tergelincir bukan sebab tiada program kerja — tapi sebab program kerja yang ada tak berfungsi seperti yang sepatutnya.
Jom kita tengok 5 sebab utama kenapa program kerja selalu gagal — disertakan dengan contoh situasi sebenar (yang mungkin pernah anda alami juga!).
1. Tiada Penglibatan Pasukan dalam Penyediaan Program Kerja
Masalahnya: Program kerja disediakan oleh seorang scheduler atau konsultan, tanpa input langsung dari pasukan pelaksana.
Contoh: Dalam satu projek pembinaan jalan raya, jadual disediakan oleh HQ tanpa berbincang dengan pasukan tapak. Akibatnya, kerja pemasangan paip air dijadualkan serentak dengan kerja turapan asfalt — sedangkan mengikut keadaan kerja di tapak, paip kena pasang dulu!
Apa kita boleh belajar: Libatkan pasukan projek di tapak, dan pihak berkepentingan lain semasa perancangan. Mereka ada maklumat sebenar dari lapangan.
2. Skop Tidak Jelas atau Sering Berubah
Masalahnya: Bila skop projek sentiasa berubah, program kerja jadi macam ‘moving target’ — tak pernah stabil.
Contoh: Projek naik taraf hospital daerah bermula dengan 3 bangunan utama. Lepas 2 bulan, diminta tambah satu blok asrama. Tapi jadual tak dikemaskini. Akhirnya, projek lewat 6 bulan — semua keliru dengan status sebenar.
Apa kita boleh belajar: Pastikan skop dikunci awal dan jika ada perubahan, program kerja mesti disemak semula secara formal.
3. Tiada WBS yang Terperinci
Masalahnya: Tanpa struktur pecahan kerja (WBS), program kerja jadi terlalu umum — susah nak kenalpasti apa yang perlu dibuat, siapa buat apa, bila dan di mana.
Contoh: Dalam satu projek bangunan sekolah, aktiviti dalam jadual hanya ditulis “Kerja konkrit struktur – 60 hari”. Tapi tiada pecahan untuk kerja tiang, rasuk, lantai atau tangga. Bila ada isu dengan tiang utama, tiada siapa perasan kesannya kepada kerja seterusnya.
Apa kita boleh belajar: Bangunkan WBS secara terperinci dan gunakan sebagai asas program kerja — ini bukan kerja tambahan, ini asas perancangan.
4. Program Kerja Tak Realistik (Terlalu Optimistik)
Masalahnya: Semua nak cepat siap — jadi program kerja disusun ikut angan-angan, bukan kapasiti sebenar.
Contoh: Satu projek lebuhraya dijadualkan siap dalam 18 bulan, tapi kontraktor hanya ada 2 pasukan kerja untuk 10 pakej zon pembinaan. Walaupun program kerja nampak cantik, hakikatnya sumber tak cukup. Akhirnya, projek perlu ‘rebaseline’ selepas 6 bulan pertama gagal capai sasaran.
Apa kita boleh belajar: Semak sumber yang ada, pertimbangkan risiko, dan pastikan logik rangkaian aktiviti. Program kerja realistik lebih baik daripada program kerja yang ‘syok sendiri’.
5. Tiada Pemantauan & Kemas Kini Berkala
Masalahnya: Program kerja dibangunkan sekali, kemudian terus ‘diperam’ dalam fail — tak dikemas kini pun bila projek berjalan.
Contoh: Dalam satu projek perumahan kos rendah, program kerja asal tak dikemaskini sejak bulan ketiga. Kemajuan kerja dikemaskini hanya menggunakan S-Curve (Excel). Bila audit dalaman dibuat pada bulan ke-10, tak dapat tentukan sama ada kelewatan berpunca dari cuaca, kelewatan pembekal atau kekurangan pekerja.
Apa kita boleh belajar: Pemantauan dan kemas kini program kerja mesti dibuat secara berkala — bukan semata-mata untuk laporan, tapi untuk bantu buat keputusan.
Kesimpulan
Program kerja bukan sekadar dokumen untuk memenuhi syarat kontrak. Ia adalah alat kawalan, alat komunikasi, dan kadang-kadang penyelamat kepada projek. Bila kita faham dan elakkan lima sebab utama kegagalan ini, peluang untuk projek berjaya meningkat berkali ganda.
Ingat: Program kerja (CPM) yang baik bukan yang nampak cantik — tapi yang hidup, praktikal dan dipandu oleh realiti projek.
Nak belajar cara buat program kerja yang mantap dan boleh diguna untuk kawalan sebenar? Sertai kelas kami:
“Masterclass Penjadualan Projek dengan CPM & Best Practices”.
📅 Tarikh seterusnya: [Info lanjut dalam grup WhatsApp]
📍 Lokasi: Online
🔗 Daftar di sini:
https://chat.whatsapp.com/GtAPg5uODrCEw5OHsDAy04?mode=ac_t
Post Berkaitan:

Posted in 
