Nak tahu cara buat cpm projek yang mematuhi garis panduan JKR? Jika projek anda buat JKR, anda wajib mematuhi garis panduan ini. Jabatan teknikal Kerajaan yang lain, JPP dan JPS, juga mula menggunakan garis panduan yang sama. Dalam artikel ini saya akan kongsikan cara buat cpm projek yang senang diluluskan oleh Pegawai Penguasa (SO).
Ramai kontraktor dan konsultan sebenarnya sudah biasa dengan program kerja CPM, tetapi apabila submit CPM untuk projek Kerajaan, terutamanya JKR, mereka terkejut sebab program kerja tidak diluluskan dengan mudah. Kenapa? Sebab mereka hanya buat carta masa yang “cantik” tetapi tidak menepati elemen yang wajib ada dalam CPM (Critical Path Method) mengikut garis panduan penjadualan projek JKR.
Kalau anda nak projek berjalan lancar, dan tidak mahu asyik kena reject bila hantar program kerja, artikel ini akan bantu anda faham cara buat CPM projek dengan betul.
Apa Itu CPM dalam Projek JKR?
Critical Path Method (CPM) ialah satu kaedah penjadualan projek yang mengenal pasti aktiviti kritikal – iaitu aktiviti yang menentukan tarikh siap projek. Kalau aktiviti kritikal lewat, projek keseluruhan pun akan lewat.
Bezanya dengan program kerja biasa ialah:
- CPM menekankan laluan kritikal.
- Ada pengiraan float/slack untuk aktiviti bukan kritikal.
- Ada hubungan logik (FS, SS, FF, LS) yang jelas antara aktiviti.
Dalam projek JKR, anda tidak boleh sekadar menyenaraikan aktiviti kerja (seperti dalam BQ). Anda perlu tunjuk bukti laluan kritikal, milestone penting, dan struktur kerja ikut WBS (Work Breakdown Structure).
Kenapa Garis Panduan JKR Penting?
JKR menggunakan satu garis panduan penjadualan projek seragam dalam menyemak dan meluluskan program kerja. Garis panduan ini bukan sekadar formaliti, tetapi asas kepada:
- Pemantauan projek (SO akan guna program kerja untuk banding progress sebenar dengan perancangan).
- Penilaian EOT (Extension of Time). Kalau program kerja tidak ikut guideline, tuntutan masa tambahan boleh ditolak.
- Kawalan kos & tuntutan. CPM juga asas untuk justifikasi tuntutan tambahan.
👉 Anda boleh rujuk terus kepada Garis Panduan Penyediaan Program Kerja JKR untuk semakan penuh.
6 Langkah Menyediakan CPM Projek
Sekarang kita masuk ke bahagian paling penting — bagaimana nak buat CPM projek supaya mudah diluluskan SO. Saya akan gunakan Model 6-Langkah Pembangunan Program Kerja seperti yang terdapat dalam garis panduan penjadualan projek JKR (rujuk artikel penuh di sini: Model 6-Langkah Penyediaan CPM)
1. Kenal Pasti WBS (Work Breakdown Structure)
Sebelum mula menyenaraikan apa-apa aktiviti, pecahkan projek kepada komponen kerja (deliverables).
- Contoh: kerja tanah, asas, struktur, bumbung, kemasan, Mekanikal, dan Elektrikal.
- Pecahan ini bukan sekadar teknikal, tetapi perlu ikut urutan kerja sebenar di tapak.
- Jangan terlalu detail sampai ada ratusan aktiviti kecil yang tidak relevan – SO hanya mahu struktur jelas.
2. Senaraikan Aktiviti dengan Jelas
Setiap WBS perlu ada senarai aktiviti. Pastikan aktiviti boleh diukur masa & kemajuan.
- Contoh aktiviti: “Kerja tiang konkrit”, “Pemasangan bumbung keluli”.
- Elakkan aktiviti umum seperti “Kerja awalan” tanpa pecahan.
- Aktiviti mestilah ada tarikh mula & akhir yang logik.
3. Tetapkan Hubungan (Dependencies)
Hubungan logik inilah yang membezakan CPM dengan carta biasa.
- Gunakan hubungan Finish-to-Start (FS) sebagai asas.
- SS (Start-to-Start) atau FF (Finish-to-Finish) boleh digunakan jika benar-benar berlaku di tapak.
- Elakkan “dummy links” hanya untuk memenuhi syarat – SO biasanya boleh kesan.
4. Kira Tempoh & Tentukan Laluan Kritikal
Setiap aktiviti perlu ada tempoh yang realistik.
- Tempoh bukan ikut rasa hati, tetapi berdasarkan pengalaman, productivity rate, dan jumlah sumber.
- Gunakan perisian seperti MS Project atau Primavera untuk mengira laluan kritikal.
- Highlight laluan kritikal supaya jelas kepada SO.
5. Semak dengan Garis Panduan JKR
Ini bahagian yang ramai kontraktor skip.
- Pastikan semua milestone penting (serahan tapak, tarikh siap kontrak, pemeriksaan M&E, tarikh serahan interim) ada dalam carta.
- Pastikan anda tunjuk total float.
- Pastikan semua elemen wajib ada (rujuk dokumen garis panduan JKR).
6. Dokumentasi & Semakan Akhir
Sebelum hantar:
- Cetak jadual CPM dengan jelas (aktiviti kritikal dihighlight).
- Lampirkan perancangan pelaksanan kerja, senarai maklumat sumber dan pengiraan durasi aktiviti.
- Sediakan format softcopy (selalunya .mpp).
Tips Hantar CPM untuk Kelulusan SO
Berikut beberapa tip tambahan supaya program kerja anda cepat lulus:
- Sederhana tetapi lengkap. Jangan terlalu kompleks sehingga SO pening kepala.
- Warna laluan kritikal. Gunakan warna merah.
- Tunjuk milestone. Tarikh mula, tarikh siap kontrak dan serahan interim jangan tertinggal.
- Self-check sebelum submit. Banding semula dengan garis panduan.
Ingat, tujuan CPM bukan sekadar lulus di atas kertas, tetapi jadi rujukan utama sepanjang projek berjalan. Elakkan daripada melakukan kesilapan seperti yang dikongsikan dalam artikel 5 Kesilapan Biasa Buat CPM Projek.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kalau anda ikut 6 langkah menyediakan CPM projek dan semak betul-betul dengan garis panduan penjadualan projek JKR, peluang untuk program kerja anda diluluskan oleh SO jauh lebih tinggi. Ingat — CPM bukan sekadar carta cantik, tapi alat kawalan projek yang jadi “bahasa rasmi” antara kontraktor dengan pihak penguasa.
👉 Nak lebih faham setiap langkah dengan contoh praktikal? Baca artikel penuh tentang Model 6-Langkah Pembangunan Program Kerja.
Kalau anda kontraktor, konsultan, atau pegawai pemantau yang nak belajar cara buat CPM projek dengan lebih praktikal, jom sertai Group WhatsApp Project Scheduling Mastery. Di sana saya kongsikan tip, template, dan jawapan terus untuk soalan projek sebenar.


Posted in
Tags: 
