Garis Panduan Penjadualan Projek JKR
Kontrak kerja projek mensyaratkan kontraktor perlu mengemukakan jadual projek, atau program kerja, dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan Surat Setuju Terima (SST) untuk kelulusan Pegawai Penguasa (SO). Jadual projek, juga dikenali sebagai CPM, hendaklah di dalam format dan perincian seperti ditetapkan oleh SO. Bagi projek-projek yang diuruskan oleh jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), SO biasanya akan meminta pihak kontraktor untuk mematuhi Garis Panduan Penjadualan Projek JKR.
Garis panduan tersebut mengandungi keperluan yang perlu dipenuhi dalam penyediaan program kerja bagi sesuatu projek. Keperluan tersebut menjurus kepada pelaksanaan proses utama pembangunan program kerja.
1. Bina WBS (Struktur Pecahan Kerja)
Struktur Pecahan Kerja (WBS) ialah alat pengurusan projek yang memecahkan projek kepada komponen yang lebih kecil. WBS boleh menyepadukan skop, kos dan penyampaian ke dalam satu alat. Garis panduan JKR menyenaraikan perkara yang perlu diambil kira dalam penyusunan WBS, aras WBS, atribut WBS, atribut kerja, dan item berdurasi panjang (long lead).
Penggunaan WBS berasaskan penyampaian projek dengan jelas menunjukkan hubungan antara penyampaian projek (iaitu, produk, perkhidmatan atau hasil) dengan skop (iaitu, kerja yang akan dilaksanakan).
2. Penjujukan Aktiviti
Penjujukan aktiviti hendaklah memenuhi keperluan teknikal dan keperluan kontrak. Penggunaan jenis sambungan selain daripada Finish-to-Start (FS) tidak digalakkan. Jika jenis sambungan lain digunakan, seperti Start-to-Start (SS), seseorang mesti memahami kesannya pada jadual. Penggunaan SS secara sendirian akan menyebabkan akitviti berjuntai (dangling task), yang akan memberi kesan kepada analisis laluan kritikal (CPM). Sambungan kepada ringkasan tugasan (Summary Task) tidak dibenarkan kerana ia juga akan memberi kesan kepada analisis CPM.
Gambar rajah rangkaian yang terhasil pula perlu lengkap, iaitu bersambung dari “Milestone Mula” hingga “Milestone Siap”. Sekiranya rangkaian terputus, analisis laluan kritikal menjadi tidak tepat. Sangat penting untuk memastikan laluan kritikal yang diperolehi adalah betul kerana sekiranya aktiviti di laluan kritikal terlewat, kemajuan projek akan terkebelakang daripada jadual. Kesilapan dalam penentuan aktiviti kritikal akan menyebabkan proses pemantauan dan kawalan kemajuan menjadi kurang berkesan.
3. Rancang Sumber Aktiviti
Tanpa sumber yang efisyen dan mencukupi, mustahil projek dapat disiapkan dengan jayanya. Pihak kontraktor perlu mengemukakan maklumat tentang sumber merangkumi jenis, bilangan dan kadar produktiviti. Sumber dalam penjadualan projek terdiri dari pekerja, peralatan, jentera, bahan binaan, dan dana. Setiap aktviti yang disenaraikan dalam WBS perlu diperuntukkan dengan sumber yang mencukupi untuk menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.
4. Anggar Tempoh Aktiviti
Proses ini memerlukan beberapa input seperti skop atau kuantiti kerja, ciri-ciri aktiviti yang dirancang dan sumber yang diperuntukkan untuk melaksanakan kerja. Terdapat lima teknik yang boleh digunakan untuk menganggarkan tempoh aktiviti. Garis Panduan Penjadualan Projek JKR menghendaki kontraktor mengemukakan asas yang digunakan untuk menganggar tempoh aktiviti. Dokumentasi ini penting kerana ia mengandungi andaian yang digunakan untuk anggaran tempoh aktiviti. Sebaik sahaja andaian tidak lagi sah, ia mencetuskan keperluan menyediakan anggaran baru.
5. Pembangunan Jadual
Jadual boleh mula dibina apabila empat proses terdahulu telah selesai. Semakan perlu dibuat bagi memastikan; gambarajah rangkaian tidak terputus, laluan kritikal logik, apungan munasabah, dan sumber diperuntukkan mencukupi. Sekiranya tarikh siap yang diperolehi tidak sama dengan kontrak, teknik pemampatan jadual hendaklah digunakan untuk memendekkan tempoh jadual. Di akhir proses ini, anda akan mempunyai program kerja yang tersedia untuk dimuatkan dengan kos, dan dimuktamadkan.
6. Anggar Kos dan Sedia Bajet
Penentuan apakah kos yang akan disenaraikan dalam jadual kos bergantung kepada definisi kemajuan kewangan yang digunapakai. Bagi program kerja yang akan dikemukakan kepada SO, kos digunakan hendaklah kos kontrak. Kos yang diperuntukkan kepada aktiviti hendaklah berkadar dengan kerja berkenaan di dalam Bill of Quantity (BQ). S-Curve kewangan projek hendaklah dijana daripada program kerja yang telah dimuatkan dengan kos.



