“Kenapa status kemajuan projek yang dilaporkan oleh kontraktor tidak sama dengan apa yang dilaporkan oleh sistem pemantauan projek pejabat saya?” tanya seorang peserta kursus.
“Beza macam mana?” saya meminta penjelasan.
“Sistem pejabat saya melaporkan kemajuan projek lewat sebanyak 15 hari, tetapi kontraktor melaporkan kemajuan adalah mengikut jadual. Yang mana satu betul?”
Saya beritahu kepada peserta kursus bahawa kedua-dua laporan tersebut adalah betul. Status kemajuan yang dilaporkan berbeza kerana kaedah pengiraan yang digunakan adalah berbeza. Sistem pemantauan projek pejabat peserta tadi menggunakan kaedah “Earned Value”, dan kontraktor menggunakan kaedah laluan kritikal atau pun Critical Path Method (CPM).
Kaedah “Earned Value” (EV) menggunakan nilai kerja sebagai ukuran untuk menilai kemajuan kerja seperti ditunjukkan dalam rajah berikut:

Nilai kerja dirancang atau Planned Value (PV), juga dikenali sebagai unjuran kewangan projek, diwakili oleh garisan hijau. Nilai kerja sebenar (nilai kerja yang disiapkan) atau Earned Value (EV) pada tarikh status (tarikh penilaian), diwakili oleh garisan merah. Varian Jadual adalah perbezaan di antara EV dengan PV pada sesuatu tarikh status. Perbezaan inilah yang digunakan untuk menentukan sama ada kemajuan cepat, lewat atau mengikut jadual.
Untuk mengira jumlah hari cepat atau lewat, kaedah EV menggunakan perbezaan antara tarikh status dengan tarikh sesuatu kemajuan dirancang sepatutnya dicapai. Sebagai contoh, PV pada 28 Februari adalah RM17 juta. Namun EV pada tarikh tersebut adalah RM RM16.5 juta. Katakan mengikut perancangan nilai RM16.5 juta sepatutnya dicapai pada 14 Feb, oleh itu jumlah hari lewat ialah 14 hari.
Kontraktor menggunakan kaedah CPM untuk menentukan status kemajuan projek. Perisian pengurusan projek seperti MS Project menggunakan “Finish Variance” untuk menentukan sama ada status kemajuan adalah cepat, mengikut jadual atau lewat. Finish Variance adalah perbezaan di antara tarikh siap dijangka (Finish) dan tarikh siap baseline (Baseline Finish). Dengan menggunakan kaedah CPM, kelewatan akan berlaku hanya apabila aktiviti kritikal (critical tasks) terlewat. Jika aktiviti kritikal terlewat sebanyak 7 hari, projek pun turut terlewat sebanyak 7 hari. Kelewatan kepada aktiviti bukan kritikal tidak memberi apa-apa kesan terhadap Finish Variance. Justeru apabila melaksana pemantauan kemajuan projek, sangat penting untuk memantau status kemajuan aktiviti kritikal.
Itulah yang membuat terdapat perbezaan jumlah hari awal atau lewat yang diperolehi melalui kaedah EV berbanding CPM. Kaedah EV mengambil kira kemajuan semua aktiviti, aktitviti kritikal dan juga aktiviti bukan kritikal. Kaedah CPM hanya mengambil kira kemajuan aktiviti kritikal.

Posted in 

boleh tlg saya ajar cara mengirakan finish varian manual
Minta maaf banyak banyak, saya lama tak update blog ni. Skrg baru nak aktif semula.
Finish Variance = Finish (Atau Projected Finish) – Baseline Finish
Contoh:
1. Tarikh siap atau jangka siap ialah pada 31 Disember 2022
2. Tarikh siap mengikut jadual (Baseline Finish) ialah pada 23 Disember 2022
Finish Variance (FV) = 31/12 – 23/12; FV = + 8 hari (Elapsed days); Positif bermakna lewat.
Finish Variance = Baseline Finish – Finish; Jika kemajuan terlewat, nilainya adalah negatif.
tuan bagaimana nak dapatkan jumlah hari lewat berdasarkan peratusan kerja fizikal jadual dan sebenar
Contoh:
peratusan berdasarkan jadual ialah 100%
peratusan berdasarkan sebenar ialah 80%
S-curve fizikal boleh digunakan untuk menentukan jumlah hari lewat.
Cara untuk menentukan jumlah hari lewat atau awal sama seperti penentuaan menggunakan S-curve kewangan seperti diterangkan dalam posting ini.
Dalam kes tuan, kemajuan 100% patut dicapai pada tarikh siap projek mengikut kontrak (Tarikh Siap Asal). Berdasarkan perancangan, bilakah sepatutnya kemajuan 80% dicapai (Tarikh Rancang Siap 80%)? Jumlah hari lewat adalah perbezaan antara Tarikh Siap Asal dengan Tarikh Rancang Siap 80%.
Untuk mendapat jumlah hari lewat/awal yang lebih tepat, gunakan fungsi “Finish Variance” seperti yang terdapat dalam perisian pengurusan projek seperti MS Project dan Primavera. Ia hanya mengambil kira kelewatan yang berpunca daripada aktiviti kritikal, tidak seperti penentuan dengan menggunakan S-curve.