Satu daripada soalan yang lazim ditanya ialah mengapa kemajuan kewangan berbeza jauh dengan kemajuan fizikal. Persepsi yang timbul:
- Terdapat kesilapan dalam pengiraan kemajuan yang dilaporkan
- Bayaran yang dibuat terlebih atau terkurang daripada sepatutnya
- Terdapat kesilapan dalam penyediaan program kerja
Sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang mengapa terdapat perbezaan yang jauh antara kemajuan kewangan dengan kemajuan fizikal projek, mari kita fahami dulu cara pengiraan kemajuan projek tersebut.
Terdapat tiga definisi kemajuan kewangan yang lazim digunakan dalam pelaporan kemajuan projek. 1) Berdasarkan tuntutan & bayaran kemajuan interim, 2) Berdasarkan nilai kerja dan 3) Berdasarkan bajet & kos pembinaan. Ketiga-tiga kaedah tersebut memberi laporan kemajuan kewangan yang berbeza.
Definisi kemajuan fizikal pula lazimnya berdasarkan kuantiti kerja fizikal, nilai kerja fizikal, dan tempoh pelaksanaan aktiviti.
Mari kita lihat perbezaan di antara kemajuan kewangan dengan kemajuan fizikal bagi senario berikut:
Senario 1: Kemajuan kewangan ditentukan berdasarkan tuntutan interim dan kemajuan fizikal berdasarkan kuantiti kerja fizikal atau nilai kerja fizikal.
Dalam kes ini, pengiraan kemajuan kewangan adalah termasuk kerja “General & Preliminaries”. Dalam pengiraan kemajuan fizikal, kerja “General & Preliminaries” tidak diambil kira. Justeru kemajuan kewangan adalah lebih tinggi dari kemajuan fizikal. Semakin tinggi kos kerja “General & Preliminaries”, semakin jauh perbezaan antara kemajuan kewangan dengan kemajuan fizikal.
Senario 2: Kemajuan kewangan ditentukan berdasarkan nilai kerja dan kemajuan fizikal berdasarkan kuantiti kerja fizikal atau nilai kerja fizikal.
Sama seperti Senario 1, dalam kes ini pengiraan kemajuan kewangan adalah termasuk kerja “General & Preliminaries” tetapi ianya tidak diambil kira dalam kemajuan fizikal. Justeru kemajuan kewangan (kos keseluruhan projek) adalah lebih tinggi dari kemajuan fizikal (kos kerja fizikal).
Senario 3: Kemajuan kewangan ditentukan berdasarkan nilai kerja dan kemajuan fizikal berdasarkan tempoh masa pelaksanan aktiviti.
Dalam kes ini tiada korelasi langsung di antara kemajuan kewangan dengan kemajuan fizikal. Perbezaan di antara keduanya, sama ada kemajuan kewangan lebih tinggi atau lebih rendah daripada kemajuan fizikal bergantung kepada tempoh masa, penjujukan (sequencing) dan kos sesuatu aktiviti. Di sepanjang tempoh pelaksanaan projek, ada kala kemajuan kewangan lebih tinggi daripada kemajuan fizikal, ada kala ianya lebih rendah, dan ada kala hampir sama.

Posted in 

Biasanya berapa banyak perbezaan di antara kemajuan fizikal dgn kewangan?
Jika kemajuan kewangan didasarkan kepada nilai kerja keseluruhan (fizikal dan bukan fizikal) dan kemajuan fizikal berdasarkan nilai kerja fizikal; perbezaannya bergantung kepada berapa banyak nilai kerja bukan fizikal (General & Preliminaries). Semakin tinggi kos kerja bukan fizikal, semakin tinggi perbezaan antara keduanya.
Jika kemajuan kewangan didasarkan nilai kerja keseluruhan (fizikal dan bukan fizikal) dan kemajuan fizikal berdasarkan tempoh aktiviti; sebaiknya perbezaan jangan melebihi 5%, ini bermaksud apabila kerja fizikal telah siap 100% ia menyumbang 95% kepada kemajuan fizikal.