Isnin, 9:03 pagi.
Fail itu terbuka di skrin.
Kursor berkelip perlahan-lahan, seolah-olah menunggu aku untuk menekan kekunci pertama.
Di sebelah tangan, secawan kopi hitam yang masih berasap. Di skrin, nama fail terpampang jelas:
“Projek Phoenix – Baseline (Diluluskan).mpp“
Aku menelan air liur. Nama fail itu kelihatan… meyakinkan. Terlalu meyakinkan.
“Tak perlu mula dari kosong,” kata mereka.
“Jadual ni dah siap. Just ubah tarikh je sikit-sikit.”
“Pakai je struktur lama — projek gudang hari tu kan smooth?”
Aku diam.
Dalam hati, satu suara kecil berbisik:
Gudang? Tapi ini projek pembangunan kediaman… dengan parkir bawah tanah… dan serahan fasa?
Tapi siapa aku untuk persoalkan keputusan atasan?
Aku pun klik dua kali pada fail itu — dan raksasa itu pun bangun dari tidur panjangnya.
Pada mulanya, ia hanya…pelik.
Ada aktiviti yang bermula pada hari Rabu.
Kerja struktur ada float, padahal ia sepatutnya kritikal.
Dan kemudian yang paling pelik dari semua — satu milestone tertulis:
“Tuang Slab Mezzanine – Minggu 6”
Aku terhenti.
Slab mezzanine? Aku buka pelan arkitek. Tak ada pun. Tak wujud pun mezzanine dalam projek ni!
Aku mula membongkar. Satu persatu elemen mula terurai.
📌 WBS? Tak berubah langsung.
📌 Tempoh aktiviti? Sama macam projek gudang.
📌 Kalendar? Masih ikut cuti umum negeri Kelantan — sedangkan projek ni kat Selangor!
Dan saat yang paling menyentap — mereka dah hantar fail ni kepada klien. Sebagai baseline rasmi.
Aku termenung. Jadual ini bukan dibina untuk projek ini. Ia dibina untuk projek lain, tapak lain, vendor lain, dan skop lain. Tapi entah siapa yang terlalu “efisien”, terus tekan Ctrl+C dan Ctrl+V, ubah nama projek, tukar tajuk milestone, dan siap.
Dan kini, aku — penjadual baru yang baru masuk projek — mewarisi raksasa yang tidak ku ciptakan..
Hari-hari berikutnya, aku lihat bencana mula muncul:
- Musim hujan tiba lebih awal.
- Jalan akses belum siap seperti yang dijangka (minggu ke-3).
- Pasukan kerja footing menunggu di tapak, termenung.
- Subkontraktor buka jadual dan cakap, “Ini bukan ikut yang kami bincang masa mesyuarat pra-pembinaan.”
Tapi peliknya — atas kertas, progress nampak cantik.
Lengkung S tak menunjukkan apa-apa luar biasa.
Realitinya, kerja dah telah terhenti selama 14 hari sebelum ada yang mengangkat bendera merah.
Mesyuarat kecemasan diadakan.
Pengurus kanan bertanya, “Kenapa kita tak nampak benda ni lebih awal?”
Aku angkat kepala, tenang — tapi dalam hati, aku tahu jawapannya.
Kita dah nampak. Tapi jadual tu… tak beritahu yang benar.
Akhir Kata – Suara Hati Penjadual
Jangan percaya jadual warisan.
Jangan percaya pada nama fail yang nampak sempurna.
Dan jangan sesekali percaya bahawa menyalin pelan lama akan menjimatkan masa.
“Menyalin tanpa menyemak adalah seperti menjalankan pembedahan menggunakan X-ray orang lain.”
Episod ini bukan fiksyen. Ia realiti yang dialami oleh ramai penjadual projek.
Kalau anda pernah alami situasi seperti ini, episod seterusnya mungkin lebih dekat dengan cerita anda.
Nantikan:
Episod 2 – Cengkaman Constraint
Bila tarikh mula tak boleh ubah, dan float jadi ilusi.
Rujukan: Confession of a Project Scheduler.

Posted in 
