Pengakuan Penjadual Projek – Episod 3: Gantt Yang Menipu

Khamis, 11:17 pagi.

Mesyuarat mingguan hampir bermula. Saya melangkah masuk ke bilik mesyuarat dengan segulung carta Gantt yang dicetak — berwarna-warni, teratur, dan… penuh muslihat.

Jurutera tapak memandang jadual itu, angguk perlahan, dan berkata:

“Atas kertas nampak cantik… tapi kat tapak, memang tak ikut pun.”

Dan dia betul. Carta Gantt itu memang indah. Semua tersusun rapi. Tarikh mula dan siap nampak masuk akal. Milestone bergemerlapan seperti bintang. Tapi saya tahu sesuatu yang orang lain tak tahu:

Jadual itu bukan dibina untuk cerita kebenaran. Ia dibina untuk nampak elok di mata orang atas.

Bila saya buka fail .mpp itu seminggu lepas, saya pun hampir terpedaya. Tapi selepas 10 minit menyemak…Rasa kagum bertukar jadi bimbang:

  • Tiada pautan logik antara seksyen utama
  • Puluhan aktiviti terapung tanpa hubungan
  • Milestone muncul secara “ajaib” tanpa kerja terdahulu
  • Aktiviti kelihatan kemas… tapi tempohnya tiada dan tiada peruntukan sumber.

Ia adalah carta Gantt yang bertujuan untuk hiasan, bukan untuk panduan. Terdapat aktiviti yang tidak dihubung dengan mana-mana aktiviti pendahulu atau penerus. Keseluruhan bahagian kerja — seperti substruktur dan kemasan — terapung di udara. Ia tidak dihubungkan dengan apa-apa pendahulu atau penerus, tak terjejas walaupun berlaku kelewatan. Dan S-curve? Sempurna… sebab ia dibentuk secara manual, bukan hasil dari kiraan sebenar.

Tak hairanlah semua orang rasa projek masih “on track”. Kerana jadual berkata begitu.

Saya balik lambat petang itu untuk membuat audit logik. Hasilnya? Tiada laluan kritikal. Tiada float sebenar. Tiada rangka yang cukup kukuh untuk pegang projek ini. Semua hanyalah persembahan visual, bukan alat kawalan sebenar.

Jadi saya bina semula. Perlahan-lahan. Aktviti demi aktiviti, logik demi logik. Menjelang tengah malam, realiti muncul:

Projek ini sebenarnya sudah lewat 28 hari — tapi tak ada siapa yang perasan.

Jadual yang dihantar kepada klien itu — indah di mata, tetapi palsu di dalam.

Keesokan paginya, saya bentangkan dua versi:

🟢 Versi asal – kemas, cantik, tapi tiada jiwa.
🔴 Versi semakan – kasar sedikit, tak sempurna, tapi inilah realiti.

Saya cakap pada mereka:

“Kita boleh terus tayangkan pelan cantik…atau kita boleh kawal projek dengan pelan yang realistik.”

Penutup – Suara Seorang Penjadual

Tidak semua carta Gantt dicipta sama.

Ada yang berkata benar. Ada yang hanya buat kita rasa selesa.

Jadual cantik tanpa logik umpama ilusi profesional. Bila bar tak berkait, milestone tak berpunca — itu bukan pelan. Itu hanya poster dinding.

Episod 4 – Ilusi Float
Kenapa “total float” sering beri harapan palsu, dan bagaimana ia menipu rasa selamat kita dalam penjadualan.

Sumber: Confession of a Project Scheduler.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress and ShopThemes