Maksud Kemajuan Kewangan Projek

Kemajuan kewangan projek

Apa maksud sebenar kemajuan kewangan projek? Ramai yang terkeliru tentang definisinya. Ada yang tertanya-tanya apa definisi kemajuan kewangan yang perlu digunakan dalam laporan kemajuan projek. Kekeliruan tentang maksud kemajuan kewangan yang digunakan di dalam laporan kemajuan projek boleh membawa kepada beberapa implikasi negatif.

Terdapat tiga definisi yang lazim digunakan dalam industri pembinaan di Malaysia. Ianya bergantung kepada objektif penyediaan laporan kemajuan kewangan tersebut. Definisinya adalah seperti berikut:

  1. Tuntutan kemajuan interim dianggap sebagai kemajuan kewangan dirancang dan pembayaran yang dibuat kepada kontraktor dianggap sebagai kemajuan kewangan sebenar.
  2. Kemajuan kewangan dirancang ialah jumlah wang yang dibajet untuk melaksana kerja (Budgeted Cost) dan kemajuan kewangan sebenar ialah jumlah sebenar yang dibelanjakan untuk menyiapkan kerja (Actual Cost).
  3. Kemajuan kewangan dirancang ialah nilai kerja yang dirancang, dan kemajuan kewangan sebenar ialah nilai kerja yang disiapkan.

Antara isu yang timbul apabila amaun tuntutan kemajuan interim dan jumlah pembayaran yang dibuat digunakan sebagai kemajuan kewangan dirancang dan kemajuan kewangan sebenar ialah, bagaimana sekiranya bayaran yang dibuat jauh lebih rendah daripada yang dituntut disebabkan oleh kekurangan dana projek.

Katakan nilai kerja yang dilaksana (mematuhi spesifikasi) ialah RM 10 juta dan tuntutan bayaran interim juga berjumlah RM10 juta. Namun begitu bayaran yang dibuat kepada kontraktor hanya berjumlah RM 8 juta kerana dana tidak mencukupi. Apakah kemajuan kewangan dirancang akan dilaporkan sebagai RM 10 juta dan sebenar sebagai RM 8 juta? Jika YA, kemajuan kewangan akan menunjukkan kelewatan sebanyak RM 2 juta. Siapa yang akan bertanggungjawab terhadap kelewatan tersebut, Pelanggan atau Kontraktor? Amat menyedihkan sekiranya kontraktor dipersalahkan di atas kelewatan tersebut.

Bagaimana pula dengan kemajuan kewangan projek ditentukan berdasarkan Budgeted Cost dan Actual Cost? Pihak pelanggan mungkin tidak akan memperolehi laporan kemajuan kewangan tersebut kerana pihak kontraktor tidak mahu mendedahkan perbelanjaan sebenar mereka, di mana margin keuntungan akan dapat dikira daripadanya.

Berdasarkan amalan di Jabatan Kerja Raya (JKR), Malaysia, kemajuan kewangan projek ditentukan berdasarkan nilai kerja. Nilai kerja dirancang adalah kemajuan kewangan dirancang dan nilai kerja dilaksana adalah kemajuan kewangan sebenar. Perancangan untuk mendapatkan dana bagi tujuan pembayaran tuntutan kemajuan interim boleh dibuat berdasarkan kemajuan kewangan dirancang. Pembayaran tuntutan kemajuan interim pula boleh dibuat berdasarkan kemajuan kewangan sebenar.

Jika kemajuan kewangan sebenar adalah nilai kerja dilaksana, apa pula istilah yang hendak digunakan untuk bayaran tuntutan kemajuan interim? Bagaimana jika kita gunakan “Kemajuan Bayaran Tuntutan Interim?”

You can leave a response, or trackback from your own site.

2 Responses to “Maksud Kemajuan Kewangan Projek”

  1. […] tiga definisi kemajuan kewangan yang lazim digunakan dalam pelaporan kemajuan projek. 1) Berdasarkan tuntutan & bayaran […]

  2. […] Unutk definisi Kemajuan Kewangan, rujuk di sini. […]

Leave a Reply to Kenapa Kemajuan Kewangan Berbeza Dengan Kemajuan Fizikal? – Pengurusan Projek

Powered by WordPress and ShopThemes